Menu

Di Sebalik Nilai Segulung Ijazah

Setelah hampir tamatnya minggu pertama kuliah untuk semester baharu, saya terpanggil untuk berkongsi sedikit pandangan dan luahan hati tentang nilai segulung ijazah kepada generasi pelajar pada masa kini. Memang menjadi sesuatu yang lumrah untuk sijil atau ijazah dijadikan bukti atas usaha yang ditabur dalam menuntut ilmu. Segala keringat yang dikerah, masa yang diluang, dan wang ringgit yang ditabur akan dikumpulkan atas sekeping kertas yang bernama ijazah. Kertas ini pasti akan dijaja tidak kira sama ada angka akhir di transkrip itu tinggi ataupun rendah, sebab itulah bukti kepuasan pelaburan yang telah dibuat.

crop380w_istock_000002032788xsmallTetapi, dari pengamatan saya khususnya sejak 4 tahun kebelakangan ini, pelajar tidak lagi memberikan nilai yang tinggi kepada ijazah yang mereka bakal perolehi setelah tamatnya pengajian mereka. Kenapa saya berkata demikian? Rata-rata hanya mahukan ijazah sebagai “alat” untuk mengangkat “harga” diri. Dengan adanya ijazah, seseorang itu akan berasa statusnya lebih tinggi daripada mereka yang tiada. Bukankah ijazah itu penting untuk dapatkan pekerjaan? Ya, memang penting, tetapi lihatlah sekeliling anda apabila berada di kampus, tanyalah kepada pelajar-pelajar atau mahasiswa. Kebanyakan mereka akan berkata, “saya tidak tahu apa laluan kerjaya saya, saya hanya ikut arus”. Tak banyak yang betul-betul tahu misi mereka dalam pengajian. Mungkin inilah antara sebab yang menyumbang kepada peratusan graduan menganggur yang kian bertambah.

Jika pelajar tahu misi mereka setelah melangkah ke universiti, sudah pasti mereka akan buat habis baik dan memanfaatkan segala peluang untuk meningkatkan diri. Di universiti yang sepatutnya menjadi “kota ilmu”, pelajar hanya menganggapnya sebagai “penjara sementara” yang mereka tidak sabar hendak melepaskan diri. Tak ramai yang sanggup belajar kursus-kursus yang berguna selain daripada kursus yang ditawarkan untuk program pengajian mereka, apatah lagi melibatkan diri dalam program yang boleh memantapkan persediaan mereka ke alam kerjaya.

Pelajar lebih sanggup meluangkan masa mencari liputan WiFi untuk hiburan daripada mencari ilmu. Tugasan dibuat tanpa pembacaan yang mencukupi, kebanyakannya dicedok dari sumber Internet. Pergi ke kelas pula, hanya menunggu pensyarah untuk menyuapkan input. Yang akan keluar peperiksaan, itu yang ditelan untuk dimuntah balik dalam peperiksaan. Tak ramai yang betul-betul hargai masa yang diluangkan di universiti. Tidak semua, tetapi majoriti memang begini.

Sudah tentu akan ada pelajar yang menuding jari kepada sistem pendidikan dan juga tanggungjawab pensyarah. Memang tidak dapat dinafikan mungkin ada kelemahan dalam sistem dan prestasi pensyarah, tetapi itu tidak seharusnya dijadikan alasan. Kalau ada masalah, cari penyelesaian. Tidak guna kalau berpeluk tubuh atau menjadi hero di alam maya. Kalau hendak seribu daya, bukan?

Cuba lihat pada minggu ini sahaja, berapa banyak pelajar yang telah kembali ke kampus untuk mulakan pengajian? Bukan nak salahkan mereka, mungkin ada yang mempunyai masalah khususnya dari segi pembelian tiket penerbangan. Tetapi itulah hakikat betapa rendahnya nilai segulung ijazah, tanpa usaha untuk menuntut ilmu. Saya kagum dengan pelajar yang sanggup bekerja “part-time” pada masa cuti sebelum ini semata-mata untuk beli tiket penerbangan untuk balik awal ke kampus. Apabila ditanya pada kelas pertama tempoh hari, dengan nada bersemangat pelajar tersebut jawab “tak mahal tiket itu kalau dibandingkan dengan ilmu yang Sir ajar nanti dan juga dari kelas-kelas lain pada minggu ini”.

Apapun, selamat maju jaya buat pelajar sekalian. Letaklah nilai yang tinggi kepada proses pembelajaran anda dan sementara anda masih berada di universiti, tuntutlah ilmu selagi yang mampu. Seperti prinsip saya dari kecil, man jadda wa jada, hanya yang berusaha akan mendapat hasil.

No comments

Leave a Reply

Follow

Quick Links

banner
banner
banner
banner