Simbiosis Pertemuan di Bulan Ramadhan
Ibuku selalu berpesan, “Hidup ini jangan terlalu mengikut perasaan, kelak diri sendiri yang rugi.” Sehingga kini aku ingat pesan ibuku tu, namun, bukan senang nak halang keinginan perasaan yang membuak-buak di dalam jiwa. Khayalan? Impian? atau sememangnya ia satu kenyataan bahawa aku memang terlalu mudah jatuh cinta.
Pertemuan aku dengan Nurul Ain merubah segalanya. Aku masih ingat lagi saat-saat pertama aku bertentangan mata dengannya. Wajahnya cukup ayu. Tiada baris kata yang mampu menggambarkan betapa indahnya duniaku pada ketika itu. Di bulan Ramadhan itulah, aku sedar perasaanku terhadap Nurul Ain begitu sukar untuk diterangkan. Terlalu abstrak untuk kujelaskan. Aku serius, aku benar-benar mahu pertemuan yang bermula itu akan kekal untuk selama-lamanya.
Sikapku yang begitu terbuka walaupun berbeza agama dan bangsa membuatkan Ain begitu senang berkawan denganku. Aku pula cukup kagumi sifat-sifat Ain yang sudah jarang dimiliki oleh remaja perempuan Islam masa kini. Nilai-nilai Islam diturutinya dengan begitu baik tanpa mengabaikan kecemerlangan dalam bidang akademik. Bidang yang dipilihnya bukan calang-calang, hanya yang berusaha akan berjaya. “Man jadda wajadda”.
Aku sememangnya dah jatuh cinta padanya. Kesantunan bahasa dan kesopanan pekertinya menawan hatiku. Aku begitu cintakan persahabatan yang terjalin. Ain terlalu sempurna untukku. Aku tidak pernah memaksanya untuk menerima cintaku ini. Bahkan, aku sudah tekad untuk tidak meluahkan perasaanku terhadapnya. Yang pasti, aku gembira selagi persahabatan ini berkekalan.
“Man, apa pandangan awak tentang Islam?” Ain pernah bertanya kepadaku.
“Setahu saya, Islam itu agama yang mulia. Sama juga dengan agama lain, mengajak umatnya berbuat baik dan tinggalkan kejahatan. Nilai-nilai Islam yang berpandukan Al-Quran dan Hadith memang baik untuk mereka yang menghayatinya. Tapi…” aku menjawab.
“Tapi apa?”
“Tapi…tak ramai yang menghayati konsep Islam yang sebenar…” aku menambah.
“Terpesong kan? Mungkin inilah akibat modenisasi sesuatu masyarakat yang mengejar kemewahan di hidup tanpa keinginan untuk memikirkan kesejahteraan di akhirat.” Ain meluahkan keluhannya, jelas di matanya, dapat kulihat kesedihan yang teramat sangat.
“Kita tak pernah nak bersyukur dengan apa yang ada. Yang kita tahu, terus ”complain” kalau apa yang kita kehendaki tidak mampu dimiliki. Dapat masuk Universiti, masih complain sana sini kata tak dapat course yang dikehendaki. Dapat elaun, kata tak cukup nak beli itu ini. Last-last, kata Tuhan tak Adil.” Ain terus menambah.
“Errr….Ain, bulan puasa ini, janganlah diungkit benda-benda camtu.” aku cuba meredakan perasaannya.
“Man, masa bulan puasa nilah kita kena muhasabah diri. Ingat, kita hidup di dunia ni tak lama. Entah esok lusa, kita akan pulang menghadap Ilahi. Nak kemewahan pun, biar berpada-pada. Semua tu tak dapat dibawa bersama ke kubur….entahlah Man, malas Ain nak komen.” Ain membisu selepas itu. Aku dapat merasakan Ain sedang memendamkan sesuatu di dalam hatinya.
Aku betul-betul hargai persahabatanku dengan Ain. Banyak yang telah ku belajar daripadanya. Agamaku berlainan tetapi dia tidak pernah menganggap ia sebagai satu halangan. “Islam tak halang kewujudan agama lain. Yang penting, jangan berbalah sesama manusia, tak kira kaum atau agama.” katanya.
Hampir 3 tahun persahabatanku dengannya. Namun, simbiosis pertemuanku pada bulan Ramadhan tidak bertahan lama. Bukan kerana aku, dan bukan kerana dia, tapi kerana Tuhan Maha Kuasa dan Maha Mengasihi. Tuhan lebih menyayanginya. Bulan Ramadhan tahun lepas, dia pergi menghadap Ilahi setelah bertahun-tahun bergelumang dengan penyakit kanser. Aku tidak pernah tahu akan penyakitnya itu sehinggalah saat-saat akhir apabila aku menelefon ke rumahnya. Ibunya menceritakan segalanya.
Aku bernasib baik kerana sempat pergi ke Hospital untuk berjumpanya buat kali terakhir. Keadaannya terlalu tenat untuk berkata-kata. Sebak hatiku melihat wajah kesengsaraannya. Tapi, dalam ketenatan, tiba-tiba dia menyuruh ku menjenguk ke poster yang tertampal di dinding dengan menggerakkan jari telunjuknya. Aku terus melihat…dan poster itu tertera “SURAH AL-ASR”.
“Demi Masa; Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”
Selang beberapa minit kemudian, Nurul Ain menghembuskan nafas terakhirnya dengan suasana sebak sanak saudara dan keluarganya menyelubungi kamar itu. Aku membisu. Tiada apa yang dapatku katakan. Nama Nurul Ain tidak pernah terpadam dalam ingatanku. Bulan Ramadhan yang menjelang tiba membuatkanku mengimbas kembali, saat-saat pertemuanku dengan Nurul Ain. Sesungguhnya, Tuhan Maha Kuasa, janganlah leka wahai manusia!
P/s: Kisah benar, cebisan daripada kehidupanku. Selamat Berpuasa buat kawan-kawan dan semua yang beragama Islam. Semoga bulan yang mulia ini membawa rahmat dan berkat kepada semua.
2 Comments